PAS Johor cadang kemuka petisyen

 

JOHOR BAHRU: PAS Johor tidak menolak kemungkinan untuk membuat petisyen berikutan dakwaan berlakunya unsur-unsur yang meragukan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 termasuk insiden-insiden yang berlaku pada hari pengundian 5 Mei lalu.

Sepanjang tempoh tersebut berbagai pelanggaran telah dilakukan sama ada di pihak Barisan Nasional mahupun Suruhanjaya Pilihanraya selaku pengendali pilihan raya ini.

Penyalahgunaan media cetak dan elektronik secara berleluasa oleh BN untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat, perjalanan undi pos dan undi awal yang dipertikaikan serta ketelusan daftar pemilih, isu dakwat kekal yang tidak kekal selain isu pengundi asing, telah menimbulkan banyak persoalan dan keraguan pada PRU13 ini.

Demikian ditegaskan Pesuruhjaya PAS Johor, Dato' Dr Mahfodz Muhamad, pada sidang media pertamanya selepas PRU13, dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama pada sidang media ini Timbalanya, Dzulkefly Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Yaani, Aminolhuda Hassan, Adun Puteri Wangsa, Ustaz Abdullah Hussein dan Setiausaha Perhubungan PAS Negeri, Onn Jaafar.

Aminolhuda dan Ustaz Abdullah adalah calon PAS yang menang pada PRU13 lalu manakala dua lagi calon PAS berjaya mengekalkan kerusi masing-masing yang terdiri dari Dr Mohamad Taslim (Maharani) dan Dr Sheikh Ibrahim Salleh (Sungai Abong).

Dr Mahfodz yang tewas dengan majoriti tipis di Dun Gambir bagaimana pun menjelaskan, tindakan untuk membuat petisyen ini bergantung kepada laporan menyeluruh yang diterima dari kawasan-kawasan yang dijangka akan diketahui dalam masa terdekat.

"PAS negeri akan mendapatkan laporan penuh daripada Dun dan Parlimen yang kita tandingi terlebih dahulu sebelum keputusanuntuk membuat petisyen dibuat.

"Di peringkat awal ini kita telah mengenal pasti beberapa Dun yang menimbulkan keraguan iaitu Dun Gambir, Mahkota dan Nusajaya yang mana telah berlaku beberapa insiden yang dikesan telah menyalahi peraturan pilihan raya dan PAS Johor tidak menolak kemungkinan untuk memfailkan petisyen ini," jelas beliau di sini.