PAS yakin cukup bukti fail petisyen

SHAH ALAM - PAS akan menyerahkan bukti kepada peguam yang dilantik untuk memfailkan petisyen ekoran ketidakpuasan hati mengenai keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di dua kawasan yang ditandingi parti itu.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, bukti yang diserahkan kepada peguam itu nanti mampu dihujahkan di dalam mahkamah setelah petisyen dibuat.

"Saya telah serahkan beberapa fakta kesalahan pilihan raya bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dun Nusanjaya, terpulang pada peguam untuk ambil tindakan selanjutnya.

"Saya yakin apa yang saya sampaikan itu mampu untuk dipetisyenkan, namun dari segi undang-undang diluar bidang saya," katanya kepada Sinar Harian Online, baru-baru ini.

Menurutnya, tempoh untuk memfailkan petisyen terhadap keraguan keputusan pilihan raya akan digunakan sebaiknya.