Undi pos menangkan BN di Dun Bukit Bunga

 

JELI: Biarpun belum mampu dinobatkan sebagai wakil rakyat, namun Sufely Abdul Razak meneruskan tugas rutinnya sebagai seorang pemimpin dengan menziarahi rakyat.

Baru­baru ini beliau menyampaikan bantuan peralatan perniagaan dan pertanian kepada penduduk kampung sebagai usaha menambah pendapatan mereka.

Pada majlis itu ada penduduk menerima sumbangan mesin tebu, pam racun berenjin dan benih­benih ikan keli.

"Bantuan yang disumbang kerajaan negeri ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi menambah pendapatan keluarga.

"Dengan adanya pam racun berinjen dapat mem­bantu meringankan tugas pekebun menjaga kebun mereka. Begitu juga benih ikan yang dibagi diternak kerana permintaan ikan keli di pasaran begitu tinggi," katanya pada program berkenaan.

Program tersebut di­adakan di Markas PAS Dun Bukit Bunga baru­baru ini. Hampir 300 penduduk tempatan hadir.

Pada pilihan raya umum lalu Sufely tewas hanya dengan majoriti 176 undi kepada calon BN, Adhan Kechik. Jumlah majoriti berjaya dikurang berbanding 348 undi pada pilihan raya umum 2008.

BN hanya bergantung sepenuhnya kepada undi pos daripada Kem Batu 11 Rejimen Sempadan yang terletak dalam kawasan Dun Bukit Bunga. Sedangkan jumlah undi awam yang diperolehi Sufely jauh lebih besar berbanding Adhan.

"Tanpa adanya undi pos BN sukar untuk terus mem­pertahankan Dun Bukit Bunga. Lagi pun dapat dilihat jumlah sokongan kepada calon PAS meningkat berbanding PRU 2008," ujarnya yang juga Naib Yang Dipertua PAS Jeli.

Sufely juga berkata, ban­tuan perniagaan dan input pertanian diberi kepada penduduk dianggarkan ber­jumlah RM32,000.