Terima kasih kerana undi 'bulan'

 

KEMAMAN: PAS Terengganu merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang mengundi PAS dan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke­13, terutama para pengundi kaum Tionghoa di negeri ini.

Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Hanafiah Mat berkata pilihan raya kali ini sokongan masyarakat bukan Islam dari kaum Tionghoa memihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Ini kerana, katanya PAS­Pakatan Rakyat boleh menang di kawasan bandar yang mempunyai komposisi kaum Cina seperti di Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun dan Kuala Nerus.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada orang Cina yang undi bulan pada pilihan raya 5 Mei, lalu. Walaupun kali ini, bulan masih belum dapat perintah Terengganu tetapi jika ada apa­apa masalah dengan Majlis Perbandaran Kemaman (MPk), Majlis Daerah Kemaman (MDK), kamu (pengundi Cina) boleh hubungi saya.

"Saya boleh hubungi pejabat­pejabat berkenaan untuk selesaikan kamu punya masalah. Tetapi, saya tidak boleh janji 100 peratus selesai...kerana kami bukan kerajaan. Walaupun, kami bukan kerajaan tapi saya punya hati dekat kamu punya hati, kamu jangan bimbang," ujarnya ketika berucap pada Majlis Meraikan Pengundi Tionghoa di Kampung Dusun Nyior, Chukai Kemaman, 29 Mei lalu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai berjanji akan sentiasa bersedia mendengar permasalahan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Katanya, sebarang per­masalahan rakyat boleh mengadu kepada beliau untuk dibawa ke persidangan Dun Terengganu.

"Kamu boleh kemukakan sebarang persoalan untuk saya bawa ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, untuk diajukan kepada Menteri Besar (MB) Terengganu.

"Kamu boleh jumpa saya di mana­mana dan jika ada masalah boleh telefon saya. Insya­Allah, saya akan cuba bantu dan tolong sekadar kemampuan tetapi jika minta wang memang saya tidak ada wang yang banyak sebab saya bukan kerajaan," jelasnya di hadapan 500 orang pengundi Cina tersebut.

Namun begitu, kata Hanafiah, beliau masih terkilan kerana hasrat hati untuk menunaikan janjinya bagi membina rumah mayat kaum Tionghoa tidak kesampaian kerana BN masih memerintah Terengganu.

Menurutnya, kemenangan PAS di Dun Chukai juga kerana sokongan pengundi Cina yang berani membuat perubahan menolak calon Umno­BN.

Pada pilihan raya lalu, calon PAS N31 Chukai, Hanafiah Mat berjaya mengalahkan calon BN, Dato' Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dengan kelebihan majoritinya 2,446 undi.

Namun, pada PRU12 tahun 2008, Hanafiah Mat pernah tewas kepada calon BN, Dato' Mohamed Awang Tera dengan majoriti 769 undi.