PAS Titiwangsa fail petisyen kemuka 4 bantahan

 

KUALA LUMPUR: Pengundi Titiwangsa memfailkan petisyen membantah keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lalu kerana mendakwa wujud 2,040 undi ragu, melebihi undi majoriti 866 yang diisytihar secara rasmi.

Pempetisyen, Rusli Yasmin, 31 melalui peguam Tetuan Noorazmir dan Khadijah memfailkan petisyen tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini semalam.

Petisyen itu menamakan tiga responden, iaitu Pegawai Pengurus Pilihan Raya Bahagian Pilihan Raya P119 Titiwangsa Abdul Halim Ismail sebagai responden pertama, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden kedua, serta Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani (responden ketiga).

Selain dakwaan wujud undi ragu, petisyen tersebut turut mengandungi tiga lagi isu utama yang dilihat bercanggah dengan undang-undnag pilihan raya.

Wakil peguam, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, petisyen setebal 49 muka surat (tidak termasuk dokumen sokongan) itu turut mendedahkan wujud risalah berbaur hasutan "Perkara yang perlu diketahui oleh Melayu Islam mengenai DAP" dan "Gempak-Gerakan menolak penipuan pembangkang".

Risalah provokatif terbabit diedarkan kepada pengundi bertujuan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan bagi mendorong keputusan pengundi Titiwangsa.

Selain itu, isu dakwat yang digunakan pada jari pengundi tidak kekal sebagaimana yang dijanjikan Responden Kedua, berdasarkan laporan polis yang dikemukakan 30 pengundi berdaftar Titiwangsa.

Pempetisyen juga membantah perbuatan sogokan di pondok panas Barisan Nasional (BN) semasa hari mengundi 5 Mei lalu.

Saksi, Lai Yuet Meng @ Dian Abdullah yang juga pengundi Titiwangsa melihat petugas BN memberikan baucer, wang tunai sebanyak RM50, air mineral dan bungkusan makanan kepada pengundi yang menghulurkan kad pengenalan untuk pemeriksaan nama.

Kejadian didakwa dilihat berlaku kira-kira 7.27 pagi di pondok panas BN di Sekolah Menengah Taman Maluri, Cheras, dan Lai kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Pudu pada keesokan hari.

Oleh itu, pempetisyen memohon mahkamah satu pengisytiharan bahawa pilihan raya P119 Titiwangsa pada 5 Mei lalu sebagai tidak sah dan terbatal.