PAS Perak fail tiga lagi petisyen hari ini

 

IPOH: PAS Perak hari ini memfailkan tiga lagi petisyen pilihanraya di Mahkamah Tinggi, Ipoh.

Petisyen difailkan membabitkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Dewan Undangan Negeri (Dun) Selama, Rungkup dan Manong melalui tetuan Chan & Assosited.

Ketiga-tiga petisyen tersebut masing-masing difailkan sendiri oleh calon bagi ketiga-tiga Dun itu iaitu Ustaz Misbahul Munir Masduki (Rungkup), Ustaz Akmal Kamaruddin (Selama) dan Jamil Dzulkarnain (Manong).

Turut hadir di mahkamah ialah Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussein, Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Zawawi Hassan, Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss dan pimpinan Pakatan Rakyat Perak serta penyokong yang datang memberi sokongan.

Ustaz Abu Bakar ketika ditemui Harakahdaily berkata, PAS melahirkan harapan untuk memenangi sekurang-kurangnya dua Dun daripada enam petisyen yang dibuat.

Beliau berkata, petisyen tersebut dibuat selepas mendapat pelbagai asas dan bukti yang kukuh akan ketidakadilan serta penyelewengan yang berlaku dalam pilihan raya yang lalu.

Namun begitu, pihaknya enggan memberikan alasan serta asas petisyen tersebut secara terperinci.

"Kami serahkan kepada barisan peguam untuk menguruskan petisyen ini dan tugas yang lain terutama ahli PAS ialah meminta pertolongan daripada Allah dengan mengadakan solat hajat, munajat, doa dan sebagainya agar ada sinar harapan untuk PAS dan Pakatan Rakyat menang dalam petisyen yang dibuat ini," jelas Adun Titi Serong itu.

Pada PRU13 lalu, Calon PAS Ustaz Misbahul Munir tewas dengan majoriti 613 undi terhadap calon BN Shahrul Zaman Yahya di Dun Rungkup.

Di Dun Manong pula, calon PAS Jamil Dzulkarnain tewas tipis kepada calon BN Mohamad Kamil Shafie dengan majoriti 231 manakala di Dun Selama, PAS yang diwakili Ustaz Akmal Kamaruddin tewas kepada calon BN Mohamad Daud dengan majoriti 619 undi.

Semalam, PAS Perak telah memfailkan tiga petisyen pilihanraya di Dun Manjoi, Pasir Panjang dan Lubok Merbau.