PAS Negeri Sembilan fail petisyen Dun Klawang

SEREMBAN: Dr Rosli yang merupakan calon PAS Dun Klawang pada PRU13 kalah dengan majoriti 282 undi kepada calon BN,Dato' Yunus Rahmat di Dun Klawang.

Dr Rosli berkata PAS mempunyai 'merit' untuk memfailkan petisyen ini kerana mempunyai beberapa bukti berlakunya penyelewengan yang melanggar peraturan pilihan raya.

"Kita mempunyai bukti salah laku melanggar Undang-Undang Pilihan Raya yang membabitkan kes pembayaran atau pemberian wang untuk membeli undi.

"Terdapat lebih daripada dua jenis salah laku undangundang pilihan raya yang berlaku di Dun Klawang dan kita mempunyai bukti-bukti yang akan kita kemukakan apabila kes petisyen ini didengar di mahkamah nanti.

"Seandainya keputusan mahkamah tidak menyebelahi kita pun, apa yang penting ialah kita berjaya sampaikan mesej kepada rakyat Malaysia bahawa apa yang diragui selama ini, sesungguhnya memang ada penyelewengan di pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pengendalian PRU13 ini.

"Kita berharap mahkamah berlaku adil dalam pendengaran kes ini," kata Dr Rosli.

Sementara itu Mohamad Taufek berkata petisyen ini membuktikan memang ada perkara-perkara yang boleh dipertikaikan berhubung perjalanan PRU13.

"Kita menerima keputusan PRU13, tetapi apa yang rakyat persoalkan ialah tidak menerima unsur penipuan, politik wang dan rasuah dalam PRU13.

Bukan Pakatan Rakyat tidak menerima keputusan PRU13 tetapi kita persoalkan penipuan dan perkara yang berkaitan dengan SPR yang sudah banyak kali kita minta penambahbaikan," ujar Mohd Taufek.