PAS kekal di Parit Yaani, Adun tidak tuntut kos

 

JOHOR BAHRU: Mahkamah Pilihan Raya hari ini menolak petisyen pilihan raya yang difailkan BN terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Yaani daripada PAS, Aminolhuda Hassan.

Justeru, Aminolhuda kekal sebagai Adun di kerusi itu selepas menewaskan calon BN Teo Yew Chuan dengan majoriti 1,188 undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Hakim Datuk Suraya Othman menolak petisyen yang difailkan calon MCA ke atas Aminolhuda, beritahu peguamnya, Mohamed Hanipa Maidin kepada Harakahdaily.

Apa yang menarik, Aminolhuda yang diwakili Hanipa Maidin tidak menuntut sebarang kos dari pihak pempetisyen.

Hakim Datuk Suraya berkata, pihak pempetisyen patut berterima kasih kepada responden dan para peguam (PAS) kerana tidak eminta kos dan mengambil kira semangat Ramadan.

Menurut Hanipa, mereka tidak mengambil kira kos yang perlu dibayar oleh pihak lawan sebaliknya mahu memastikan mahkamah menjadi tempat yang adil untuk perbicaraan.

"PAS pentingkan hak dan suara rakyat. Wang bukan segalanya dan bukan sasaran kami. Tidak seperti peguam Umno yang minta kos dengan niat untuk membankrapkan rakyat.

"Kita pergi ke mahkamah bukan untuk dapatkan kos tapi sebab mahkamah adalah tempat untuk mengadu segala kepincangan pilihan raya," katanya kepada Harakahdaly hari ini.

Pada tahun 2004, calon PAS Muhamad Yusof Masran yang mendapat 3,259 undi dikalahkan calon BN Ng See Tiong yang mendapat 10,535 undi dengan majoriti 7,276 undi.

Pada tahun 2008 pula, Ng See Tiong sekali lagi bertanding bagi mewakili BN dan mengalahkan calon PAS Hashim Jusoh dengan majoriti 3,857 undi.

See Tiong mendapat 9,419 undi manakala Hashim mendapat 5,562 undi.