PAS tanding 3 Parlimen 12 Dun di Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR: PAS Negeri Sembilan mengesahkan akan bertanding di tiga kerusi parlimen, dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Perkara itu disahkan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah Taufek, dari keseluruhan lapan kerusi parlimen di negeri itu, PAS bertanding di tiga kerusi, manakala 12 kerusi dari 36 kerusi Dun.

Menurut Taufek, berdasarkan perbincangan dengan Pakatan Rakyat Negeri Sembilan, keputusan itu diambil secara bersama bagi memastikan Pakatan Rakyat dapat menawan Negeri Sembilan.

"Pada 10 April, (Setiausaha Agung PAS) Datuk Mustafa (Ali) akan ke parlimen Jempol untuk mengisytiharkan calon PAS bagi kerusi Jempol secara rasmi," kata beliau.

Manakala, bagi calon-calon lain, PAS bersama PKR dan DAP bersetuju untuk mengumumkan senarai penuh calon Pakatan Rakyat Negeri Sembilan tiga hari sebelum tarikh penamaan calon yang diputuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pakatan Rakyat Negeri Sembilan memerlukan pertambahan hanya tiga kerusi Dun bagi mendapatkan 'simple' majoriti bagi membolehkan mengambil alih kerajaan negeri.

Pada pilihan raya umum lalu, PR memenangi 15 kerusi daripada 36 kerusi Dun, manakala tiga kerusi daripada lapan kerusi parlimen.