Peluang cerah untuk PAS menang parlimen Lenggong

LENGGONG: PAS Perak berkeyakinan tinggi untuk menang Parlimen Lenggong dalam PRU13 ini berikutan gerak kerjanya yang sangat baik.

Pengarah Pilihanraya PAS Perak, Asmuni Awi berkata, keyakinan itu disuarakan setelah melihat gerak kerja jentera kawasan Lenggong yang sangat mantap.

Katanya, walaupun kawasan majoriti Melayu itu diklasifikasi 'underdog', PAS Perak tetap mensasarkan Lenggong antara satu daripada 7 parlimen yang ditandingi akan berjaya ditawan.

Dalam pilihan raya umum ke 12 lalu, calon PAS Muhamad Zulkifli Mohamad Zakaria kalah kepada calon BN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dengan majoriti sebanyak 4,919 undi berbanding dengan majoriti 5,632 dalam PRU 11.

Lenggong mempunyai kira-kira 81 peratus pengundi Melayu, 17 peratus Cina dan 1.7 peratus India.

Parlimen ini mempunyai dua DUN iaitu Kenering dan Kota Tampan yang kedua-duanya dimenangi calon BN dalam pilihan raya lalu.

"Gerak kerja parti pada pilihanraya kali ini telah dijalankan sejak awal lagi dan persediaan ini berbeza dengan pilihanraya sebelum ini," kata Asmuni ketika menyampaikan taklimat dalam program Ijtimak Jentera PRU13 PAS Perak di Kampung Luat, Lenggong.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat yakin usaha gerak kerja PAS Lenggong yang diketuai Yang Dipertuanya, Razman Zakaria (gambar kiri) akan menghasilkan kemenangan dalam PRU13 nanti.

Dalam pada itu, Asmuni menegaskan, semua arahan yang dikeluarkan oleh pimpinan hendaklah dipatuhi sebaik mungkin.

Kata Asmuni, segala polemik yang timbul antara parti komponen Pakatan Rakyat mahupun jentera itu sendiri hendaklah diselesaikan secara berhemah agar tidak menjejaskan gerak kerja.

Jelasnya lagi, PRU13 adalah pilihanraya paling getir buat Umno-BN untuk mengekalkan kuasanya setelah melihat suasana rakyat yang inginkan perubahan.

"Pakatan Rakyat harus menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk menjatuhkan Umno-BN.

"Kalau Umno-BN kalah kali ini, kita simpan mereka di Muzium Umno dan jika kita kecundang, kita lihat apa yang mereka akan buat kepada rakyat," jelasnya lagi.

Ribuan hadir ke program tersebut terdiri daripada jentera, pimpinan kawasan serta negeri dan bakal-bakal calon PAS.

Pimpinan PAS Pusat yang dijenput menyampaikan amanat ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.