PAS Pahang umum 7 calon lagi

KUANTAN: Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man malam tadi mengumumkan tujuh lagi calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) melibatkan empat parlimen di Pahang.
 
Tuan Ibrahim dalam program Himpunan Rakyat di Indera Sempurna itu mengumumkan Yang Dipertua PAS Kuantan Rosli Abdul Jabar sebagai calon bertanding di N15 Tanjung Lumpur sementara Naibnya Syed Anis Syed Hussein bertanding di N16 Inderapura.


Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga Yang Dipertua PAS Paya Besar, Yusof Embong bertanding di N19 Panching. Bagi kerusi N17 Sungai Lembing akan ditandingi Sulaiman Mat Derus.

Sementara aktivis masyarakat yang juga AJK Perhubungan PAS Andansura Rabu dinamakan bagi kerusi N12 Beserah.

Bagi N21 Peramu Jaya akan ditandingi oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan, Abu Kasim Manaf sementara calon terdahulu bagi N20 Pulau Manis Othman Bakar dipilih semula bertanding di situ.

Bagi semua tujuh kerusi yang diumumkan, melibatkan semua calon yang bertanding pada PRU yang lalu kecuali Syed Anis di Inderapura dan Andansura  di Beserah.